
Assalamualaikum,
Saya minta maaf untuk semuanya. Sukar untuk saya melupakan awak. Seolah-olah awak terlalu istimewa di hati saya. Hari ini saya menjatuhkan maruah saya dengan memberitahu hal ini pada awak.
Saya tidak minta apa-apa.
Cuma, kasihanilah saya. Tolong nasihatkan saya. Terima kasih.
Surat itu ditatap lelah. Zaid menghelas satu nafas panjang setelah ditariknya dalam. Air matanya menitis. Lama matanya tutup tidak terbuka. Di mindanya terbayang wajah pemilik surat ini. Surat itu ditatap lagi. Dibaca berulang kali.
Seketika, kalimah ta’awwuz mencelah di bibir. Sudah jauh dia khayal. Syaitan telah mengganggu fikirannya. Air mata jernih itu diseka. Dia melipat kemas surat itu. Kedua tapak tangannya dinaikkan ke paras dada. Lantas, dia menitipkan doa. Hatinya menyusun rentak kata memohon pada yang Esa.
Perutnya yang tadi menyanyi penuh irama meminta rezeki kini senyap. Fikirannya tertumpu pada isi surat tersebut. Bukannya dia tidak kenal Farah. Farah Nina Mohd Ismail. Suatu nama yang dulu sering bermain-main di bibirnya. Namun suatu waktu Farah memutuskan ikatan persahabatan yang telah lama terbina. Namun itu semua kisah lama.
Terlalu lama.
‘Farah, kenapa kamu bertindak begini?’ hatinya berbisik. Tiada suara yang menjawab.
Zaid teringat ketika Farah menyatakan bahawa hubungan persahabatan antara lelaki dan perempuan adalah haram kerana ia menghampiri zina. Ketika itu Zaid tidak bersetuju. Mereka bukannya bercinta. Tidak ada kata-kata penyubur kasih dan sayang. Semuanya penuh dengan nasihat dan teguran. Bagaimana Farah boleh tiba-tiba berfikiran negatif?
Melalui sistem pesanan ringkas, Zaid menitipkan sebaris ayat al-quran yang dipetik dari surah al-hujurat tentang galakan untuk berkenalan dan menjalinkan silaturrahim. Ayat itu bulat-bulat ditolak Farah. Bagi Farah, ayat itu bukan lessen yang membolehkan ikatan persahabatan antara berlainan jantina dibina secara melulu. Dia tahu Farah ketika itu telah diusrahkan. Dia tahu kebiasaan mereka yang mengikuti usrah pasti akan dididik tentang kepentingan menjaga pergaulan dengan lelaki ajnabi. Dia tahu. Tetapi mereka sekadar berkawan, tidak lebih dari itu. Kenapa sehingga perlu memutuskan persahabatan?
Sejak itu, Farah tidak berhubung dengannya. Jika adapun, Farah seperti acuh tidak acuh. Tidak seperti dahulu. Nombor telefon Farah sudah bertukar. Zaid menyedari semua ini dan membiarkannya. Dia sendiri berasa biasa sahaja. Mungkin itu yang terbaik buat diri Farah. Mungkin Farah berasa takut melakukan zina hati ketika masih berhubung dengan Zaid. Mungkin. Walaupun bagi Zaid itu semua hanyalah alasan remeh sahaja.
Namun, dia faham semua itu dan merelakan ia terjadi. Dia tidak mahu meneruskan sesuatu yang mungkin tidak baik untuk Farah. Sebagai seorang sahabat, dia menghormati kehendak Farah. Biar jiwanya terdera, bukan Farah.
“Amboi termenung seorang diri. Apa cerita? Ada masalah ke?” soal Syafiq, teman baiknya yang tiba-tiba muncul di sebalik pintu bertombol bulat itu.
Zaid menyusun giginya rapat. Satu senyuman tipis dihadiahkan. Dia merenung wajah Syafiq. Tanpa sempat berfikir apa-apa, surat itu dihulurkan pada tangan Syafiq. Syafiq menyambut dengan wajah yang terpinga-pinga. Selesai membaca patah demi patah, lantas dia menjerit.
“Haaaa....?”
Zaid mengucap istighfar. Rohnya terkejut dengan suara garau milik Syafiq.
“Apa saya boleh buat?” sebaris soalan diajukan pada Syafiq. Syafiq tersenyum lalu
duduk di atas katil berhadapan dengan Zaid.
“Macam-macam. Farah ini pun satu hal.” Syafiq nampak seperti menyalahkan. Serentak itu, kerut dahi Zaid memandang wajah Syafiq. Di wajahnya nampak riak kegeraman.
“Kenapa kamu? Apa masalah kamu?”
“Yerla. Gatal dan miang.”
“Kamu baik berfikir sebelum bercakap!” Zaid meninggikan suara keras.
“HA HA HA HA,” gelak Syafiq sehingga tersembur air liur. Dia lantas menutup mulut dan menyeka tangannya yang tersisa air pada tuala yang disangkut di bahu. Zaid meredakan kerut dahinya. Bibirnya mengukir garis lurus. Marah tidak. Suka pun tidak.
“Kenapa kamu gelak? Kamu main-mainkan saya ke?” Zaid masih tidak puas hati.
“HA HA HA HA. Saya saja mahu uji kamu. Nampaknya marah betul kamu bila saya mengata Farah. Rupa-rupanya masih ada rasa di jiwa. Kamu sukakan dia ye? HA HA HA HA.”
Zaid terus bangun meninggalkan Syafiq. Tuala di birai katil disentap. Dia terus ke tandas. Rasa mahu menangis.
Jiwanya tidak tenang.
“Zaid! Zaid! Sinilah! Saya nak bincang dengan kamu. Tadi saya cuma mahu uji. Saya nak tolong kamulah!” Syafiq menjerit sambil mengekori Zaid dari belakang. Zaid berpaling sambil terus melangkah dan menyatakan,
“Sekejap. Saya mahu basuh muka.” Dia sebenarnya mahu menyembunyikan titsan air mata yang terus terhambur selepas Syafiq menggelakkannya. Dia bertanya pada hati,
‘Benarkah aku juga punya perasaan yang sama?’. Satu soalan yang diakhiri dengan persoalan.
Syafiq sedang duduk bersila di atas karpet baldu berwarna biru. Dipersilakan Zaid duduk di hadapannya.
“Begini Zaid. Saya minta maaf. Saya cuma mahu selidiki apa sebenarnya dalam hati kamu.”
“Tetapi, tidak bermakna jika saya mempertahankan Farah maka saya punyai rasa sayang lebih daripada seorang sahabat, bukan begitu?”
“Baiklah. Saya gagal menguji kamu. HA HA. Sudahlah. Tenang sekejap Zaid. Istighfar Zaid. Kenapa wajah kamu begitu runsing sekali? Sukarkah situasi ini?”
“Ini soal seorang wanita solehah yang menulis surat cinta kepada saya. Seorang wanita yang berani meluahkan perasaan jurus menjatuhkan maruah dia selaku seorang wanita. Soal hati dan perasaan Syafiq. Ini soal seorang wanita solehah....”
“Hmmm, benar juga kata kamu tu. Maaf saya tidak nampak yang itu. Memang ini soal penting.”
“Saya tidak boleh menerima tindakan dia. Saya yang rasa bersalah. Syafiq, bukannya saya tiada perasaan pada dia...”
“Zaid...Kamu...”
“Tunggu. Biar saya habiskan bicara. Setelah sekian lama saya sering berdoa kepada Allah supaya mempersatukan hati saya dengan hatinya, jika itu kehendak Allah. Namun bukan dalam suasana yang tidak harmoni begini!”
“Zaid, ZAID! Tenang sebentar. Istighfarlah...Kamu sepatutnya bersyukur kerana Allah telah mengabulkan hajat kamu!”
“Syafiq, bukan untuk saat ini! Ini bukan sesuatu yang harmoni. Saya tidak boleh menerima situasi seorang wanita solehah meluahkan rasa cinta atas sekeping kertas. Dimana kesolehannya?”
“Allahuakbar.” Syafiq terkesima.
Zaid berhenti berbicara. Dia mencapai tuala dan mengesat air mata.
“Dimana maruahnya selaku seorang wanita?”
“Zaid, mungkin kamu terlupa bahawa Siti Khadijah isteri Rasulullah juga melakukan perkara yang sama. Perigi mencari timba. Tidak ada salahnya, bukan?”
“Syafiq, mungkin kamu juga lupa bahawa Siti Khadijah menggunakan orang tengah!”
“Zaid, adakah soal orang tengah sangat penting ? Boleh sahaja mungkin Farah berasa segan lantas merasakan ini sahaja solusi termudah!”
“Syafiq......Dia wanita solehah....Ini bukan caranya.”
“Zaid, beginilah. Surat ini telah kamu terima. Kamu sudah tahu isi hatinya dan kamu juga sebenarnya punyai perasaan yang sama. Mengapa tidak kamu sambut sahaja semua ini dengan berita gembira?”
“Apa maksud kamu?”
“Menikah. Membina masjid. Saya boleh menjadi pengapit.”
“Sudahlah Syafiq. Tinggalkan saya sendirian. Maafkan saya.”
Zaid memejamkan matanya. Gelap. Dia merangka sebuah puisi. Sengaja puisi itu diletakkan di laman web pimpinan pelajar universitinya. Dia tahu Farah sering bertandang ke situ.
***
Farah menggerakkan tetikus yang berwarna kelabu itu. Jari hantunya menekan salah satu butang pada tetikus. Pada laman web itu terpapar sebuah puisi karya Zaid. Dia membaca tenang.
Puisi : Kenangan
Kekadang, saya teringatkan seseorang. Seseorang yang pernah saya kenali ketika di alam persekolahan dulu. Baru-baru ini saya terjumpa seseorang yang persis seseorang. Kenangan terusik kembali. Ini bukan kes cintan-cintun, okay. Ini kisah persahabatan. Hayati puisi ini. Mana tahu boleh tolong saya kembalikan kenangan itu.
Kenangan
Ia pernah menjadi indah,
Seindah kilauan bintang menari ketika malam,
Memainkan rentak kasih dan sayang,
Sekadar cukup,
Sekadar itu.
Ia pernah menjadi pudar,
Sepudar sirna awan ketika mendung,
Memainkan rentak benci dan keji,
Sekadar cukup,
Sekadar itu.
Kini tanda soal,
Menjadi tanda tanya,
Kenangan itu mungkinkah,
Akan menjadi indah,
Akan menjadi pudar?
Lama mana menunggu,
Sekejap cuma menanti,
Jauh mana percaya,
Dekat pasti berjaya.
Jika diizinkan Allah saya bertemu dengannya, temukanlah kami dalam suasana yang harmoni. Ia pernah menjadi indah, tidak mahu pudar yang datang. Kepercayaan tunggak keberjayaan. Kau yakin, dia datang!
Ini bukan puisi jiwang, ini puisi seorang sahabat pada sahabat ya. Jika sahabat yang dimaksudkan terbaca, satu ku pinta. (Tak mungkin dia baca)
Kenangan itu tolong jadikan indah di suatu masa. Saya yakin, awak datang.
Farah mengulang membaca ayat yang terakhir.
Kenangan itu tolong jadikan indah di suatu masa. Saya yakin, awak datang.
Dia mengulang kembali suatu ayat yang terkesan di jiwanya. Wajahnya merona malu.
Jika diizinkan Allah saya bertemu dengannya, temukanlah kami dalam suasana yang harmoni.
‘Harmoni?’ Farah membisik sendiri di telinganya. Hati dan akalnya terbius seketika.
‘Mungkinkah tindakanku menulis surat ini tidak harmoni?’ Lagi dia membisik. Kalimah istighfar membasahi bibirnya. Dia terus beristighfar. Malu pada Zaid. Tetapi lebih malu pada Allah!
....
Sila komen bagi yang dah baca. Terima kasih.
2 Komentar:
Bismillahirahmanirahim.
Tidak ada yang lebih berharga bagi seorang muslimah solehah melainkan tingginya sifat malu dalam dirinya,dan cerminan akhlak yang sungguh mendamaikan hati pabila memandangnya.Moga akak dan kita semua turut memiliki sifat-sifat yang sama.Akhlak srikandi solehah.Amin.Cerpen yang sangat best kak.Alhamdulillah.
Segala puji dikembalikan kepadaNya.
Semoga kita diberi kekuatan drpd dilalaikan oleh keindahan dunia.
Semoga sifat malu itu terus menghiasi wanita yang beriman.
Sesungguhnya akhlak yg mulia itu lebih cantik drpd seorang wanita yg cantik.
Jemput singgah selalu.
Post a Comment